-A A +A

Apakah kemudahan asas yang disediakan UMP?


Kampus UMP di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang telah diubah suai bagi menjadi sebuah pusat pengajian yang serba lengkap. Pihak universiti menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang bersesuaian kepada pelajar dan staf. Adalah menjadi matlamat UMP untuk memastikan bahawa para pelajarnya dapat melanjutkan pengajian mereka dalam persekitaran yang kondusif dan meninggalkan pengalaman yang positif.

Asrama

UMP menyediakan kemudahan asrama di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang. Di UMP, setiap asrama dikenali sebagai ‘kolej kediaman’. Setiap kolej kediaman dilengkapi perabot dan kemudahan asas lain. Terdapat tujuh buah kolej kediaman di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang iaitu:

  • UMP Pekan: Kolej Kediaman 5, Kolej Kediaman 512 dan UMP@City.
  • UMP Kampus Gambang: Kolej Kediaman 1, Kolej Kediaman 2, Kolej Kediaman 3, dan Kolej Kediaman 4.

Kafeteria

Kafeteria UMP menyediakan pelbagai pilihan makanan untuk semua warga kampus. Terdapat tiga buah kafeteria di UMP Pekan dan lima buah kafeteria di UMP Kampus Gambang.

Pusat Aktiviti Pelajar

Pusat Aktiviti Pelajar diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) bagi menyediakan ruang berinteraksi dalam kalangan ahli-ahli kelab, persatuan dan Perwakilan Pelajar. Terdapat sebuah Pusat Aktiviti Pelajar di UMP Pekan dan dua buah Pusat Aktiviti Pelajar di UMP Kampus Gambang. Selain itu, Pusat Aktiviti Pelajar turut menyediakan mesin ATM.

Tempat Riadah/Kemudahan Bersukan

  • Mini Stadium
  • Gelanggang Skuasy
  • Kompleks Sukan
  • Meja Ping Pong
  • Gimnasium
  • Gelanggang Badminton
  • Padang Bola Sepak
  • Gelanggang Tenis
  • Gelanggang Bola Tampar
  • Gelanggang Sepak Takraw
  • Gelanggang Bola Jaring dan Bola Keranjang
  • Di sekitar tasik UMP Pekan boleh dijalankan pelbagai aktiviti sukan air seperti speed boat dan berkayak.

Kemudahan Pengangkutan

- Bas Rapid Kuantan menyediakan kad MyRapid yang melayakkan pelajar menikmati 10 peratus diskaun daripada harga sebenar. Laluan 402 adalah laluan yang menghubungkan antara hentian Bandar Kuantan – Ubai – Kampung Sungai Soi – Tanjung Selangor – Cherok Paloh - UMP
- Bas UMP.

Kompleks Sukan

Kompleks Sukan dapat memuatkan lima ribu orang pada satu-satu masa yang menempatkan gelanggang bola tampar, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang. Kompleks Sukan juga digunakan untuk Majlis Konvokesyen, majlis-majlis rasmi universiti dan dewan peperiksaan. Kompleks ini mempunyai ruang lobi yang luas, dewan jamuan dan bilik VVIP.

Kompleks Sukan UMP juga bertaraf dunia. Sport flooring yang menepati piawaian antarabangsa dan keluasan lantai terbesar daripada institusi pengajian (IPT) lain di Malaysia yang boleh memuatkan 12 gelanggang badminton.

Masjid UMP

Masjid UMP merupakan pusat perkhidmatan kerohanian dan aktiviti keagamaan kepada mahasiswa dan staf. Proses pendidikan kerohanian diserapkan melalui pelbagai aktiviti seperti kelas pengajian al-Quran, majlis berbuka puasa, kuliah selepas solat Zuhur dan Maghrib, seminar, forum, bengkel, dan penyebaran risalah dari semasa ke semasa. Semua program dikelola oleh Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN). Masjid dilengkapi dengan peralatan LCD untuk paparan visual dan terjemahan teks, ruang wuduk, bilik bacaan dan dewan solat utama.

Koperasi

Terdapat sebuah koperasi di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang yang menyediakan kemudahan kepada pelajar dan staf. Koperasi UMP Kampus Gambang turut dilengkapi dengan Pejabat Pos Mini.

Pusat Kesihatan Universiti

Pusat Kesihatan Pelajar beroperasi di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang yang bertujuan memberi perkhidmatan perubatan kepada warga UMP. Pusat Kesihatan Pelajar menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga UMP, bagi memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang memuaskan supaya para pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian dengan lebih efektif dan cemerlang. Pusat Kesihatan Pelajar dikendalikan oleh pegawai perubatan dan paramedik yang profesional bagi memastikan perkhidmatan yang diberi adalah yang terbaik dan selamat.

Capaian Internet

UMP dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar (wireless) yang membolehkan pelajar dan staf mengakses internet di beberapa lokasi-lokasi yang strategik di sekitar kawasan kampus dengan menggunakan komputer riba mereka. Kemudahan yang disediakan memberikan kelebihan kepada warga UMP dan membolehkan mereka mendapatkan maklumat dengan pantas dan efisien. Kemudahan Sistem e-Community di dalam kampus turut disediakan bagi kemudahan warga UMP. Selain itu, UMP merupakan pengguna bandwidth di TM Hotzone terbesar di Pantai Timur.

Perpustakaan

UMP mempunyai dua buah perpustakaan terletak di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang. Sehingga kini, Perpustakaan mempunyai 114,451 judul bahan bercetak  dan elektronik, 3,314,135 juta bahan atas talian dengan 15 pangkalan data yang dilanggan. Bahan tersebut meliputi bidang Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Kejuruteraan Awam, Pembuatan, Sains serta Sistem dan Perisian Komputer. Walaupun UMP merupakan universiti teknikal tetapi bagi melahirkan graduan yang kompeten dan berpengetahuan menyeluruh, bahan-bahan dalam bidang pendidikan, keusahawanan, keagamaan dan bacaan umum lain juga disediakan. Dengan Sistem Virtua (VTLS) pengguna boleh mendapatkan maklumat asas bahan-bahan yang terdapat di dalam perpustakaan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di perpustakaan adalah:

  • Pinjaman di antara Perpustakaan
  • Pinjaman di antara Sirkulasi
  • Pinjaman di antara Rujukan
  • Penasihat Pengguna
  • Program Pendidikan Pengguna
  • Keahlian Perpustakaan
  • Fotokopi & Cetakan
  • Stesen Digital: E-Magazine
  • Digital Station: E-Newspaper